BANGKOK: Kabinet dijangka meluluskan pakej bantuan kos sara hidup hari ini yang menyasarkan kumpulan rentan, serta sektor pengangkutan dan pertanian, kata Menteri Kewangan Ekniti Nitithanprapas semalam.
Menurut beliau, Kementerian Kewangan bersama agensi berkaitan akan mengemukakan langkah-langkah bagi mengurangkan kesan harga tenaga yang tinggi terhadap isi rumah dan perniagaan, khususnya kumpulan rentan dan sektor pertanian.
Beliau berkata, sektor pengangkutan dan perikanan berdepan tekanan kos yang boleh dipindahkan kepada harga barangan, sekali gus memerlukan campur tangan kerajaan bagi mengehadkan kesan yang lebih meluas terhadap ekonomi.
Kementerian Kewangan akan mencadangkan sokongan kebajikan tambahan melalui kad kebajikan negara, pinjaman berkadar faedah rendah untuk isi rumah beralih kepada tenaga solar, serta perolehan baja, dengan jumlah peruntukan kira-kira 30 bilion baht.
Kementerian Pengangkutan pula akan memperkenalkan langkah untuk mengurus kos bahan api bagi pengendali pengangkutan dan sektor perikanan, manakala Kementerian Perdagangan akan menyokong isi rumah menerusi skim “barangan Thai untuk rakyat Thai”, katanya.
Dalam fasa seterusnya, kerajaan merancang melaksanakan skim tukar ganti kereta (trade-in) untuk menggalakkan penggantian kenderaan lama kepada model elektrik dan hibrid, sekali gus mengurangkan penggunaan minyak dan pelepasan karbon, tambah beliau.
“Perbelanjaan akan disasarkan, dengan keutamaan diberikan kepada kumpulan rentan, manakala peruntukan bajet yang tidak perlu akan dipotong,” katanya.
Ketika berucap di parlimen, Menteri Perdagangan Suphajee Suthumpun berkata kementeriannya tidak campur tangan dalam penetapan harga bahan api, bekalan perubatan, perkhidmatan pengangkutan dan gula kerana barangan tersebut dikawal di bawah undang-undang tertentu.